Wednesday, September 10, 2008

# 3 Rembulan

Kuliah ketiga kami berbincang mengenai cerpen Rembulan Cappuccino.

Ramai dari kami amat keliru akan cerpen itu.

Sebelum kelas kami telah bersembang dan cuba berbincang secara rambang akan apakah symbolism rembulan di dalam cerpen itu. Kami semua mendapat tafsiran yang berbeza akan makna rumbulan.

Lantas di dalam kuliah kami pun berbincang dengan lebih dalam lagi tentang penafsiran kami.

Uma menganggap rembulan itu sebagai simbol kebahagian.

Junaidah pula berfikiran bahawa rembulan itu adalah melambangkan kebebasan wanita di dalam cerpen itu.

Khadijah pula beranggapan bahawa rembulan itu ibarat maruah diri dan akhirnya Marrissa mengkaitkan rembulan itu dengan keyakinan diri seorang wanita.

Saya pula menafsirkan rembulan itu seumpama kasih sayang antara suami dan isteri
Saya berpendapat bahawa wanita di dalam cerpen itu pada mulanya hendak membeli kembali kasih sayang suaminya yang telah hilang ketika dia diceraikan. Kasih sayang ini dilambangkan dengan simbol rembulan.

Namun setelah dibelinya rembulan itu , dia mula menyedari bahawa dia sebenarnya tidak memerlukannya lagi. Wanita itu sedar bahawa dia tidak perlu rembulan itu untuk hidup bahagia dan ramai orang lain lagi yang mempunyai nasib yang sama ataupun yang lebih buruk darinya. Wanita itu pada mulanya berfikiran bahawa beliau harus mengikut norma masyarakat di mana seorang isteri yang diceraikan MESTI merasa sedih dan tidak WAJIB bermuram. Namun beliau sedar bahawa itu tidak semestinya. Justeru dia pun memulangkan kembali Rembulan itu dan memesan benda yang lain.


Kelas ini telah menunjukkan kepada saya betapa subjektif sastera itu.
Namun ia telah membuat saya terfikir , adakah kita semua terlalu membaca cerpen itu terlalu dalam .. contohnya kita asyik mentafsirkan bahawa mungkin sesuatu itu melambangkan sesuatu benda.. tetapi mungkin pada hakikatnya si penulis itu tidak bermaksud langsung untuk membuat perlambangan tersebut...


Setelah kelas, beberapa dari kami mula berbincang mengenai cerpen itu lagi.
Kami cuba memikirkan akan makna sebenar rembulan itu namun kami membuat konklusi bahawa hanya si penulis yang tahu makna sebenar rembulan itu. Justeru selagi kita semua belum boleh dapat bertemu dengan si penulis tidaklah dapat kita tahu akan makna rembulan itu.


Berhubung kembali kepada tugas saya sebagai seorang guru sastera, kuliah ini telah menunjukkan bahawa sastera adalah sesuatu yang tiada hitam dan putih. Tafsiran sesuatu teks itu terbuka dan tiada salah dan betul. Lihat sahajalah di dalam kuliah yang hanya mempunyai 5 orang terdapat 5 tafsiran yang berbeza apatah lagi jika kita mengajar kelas yang lebih dari 10 pelajar-pelajar; lebih tentu terdapat lebih banyak tafsiran yang berbeza-beza. 

Di sini kita harus tahu bagaimana untuk menguruskan kelas di mana akan terdapat berbagai-bagai tafsiran dan pendapat yang berbeza. Sebagai seorang guru juga kita harus tahu bagaimana untuk tidak bersifat berat sebelah walaupun diri kita sendiri lebih cenderung kepada sesuatu pendapat atau tafsiran itu.

No comments: