Di kuliah sastera tadi, kami telah mengadakan perbincangan mengenai isu diskriminasi kaum di negara kita ini. Ini adalah kerana kami sedang mengaitkan isu-isu yang di hadapi watak Pheng Hwa dengan kehidupan seharian kami supaya kami lebih memahami jalan ceritanya dan ia akan rasa lebih dekat.
Rumusan diskusi kami adalah kami semua rata-rata bersetuju bahawa di negara kita ini kami tidak dapat lari dari unsur-unsur diskriminasi. Diskriminisai ini adakalanya berlaku secara terang-terangan ataupun secara halus.
Namun, isu yang hendak diketengahkan saya di sini bukan mengenai isu-isu diskriminasi tersebut, sebaliknya saya mahu mengongsi apa yang terlintas di minda saya ketika kami semua sedang berbincang mengenai isu-isu kaum.
Saya terfikir bahawa adakalanya sebagai seorang guru kami akan diminta untuk mengajar CME dan di dalam matapelajaran sebegini selalunya akan dikemukakan isu-isu berbilang kaum di mana saya sebagai guru harus menyetuju dan menyampaikan kepada mereka bahawa Negara kita ini adalah sebuah Negara yang adil , meritokrasi dan tiada unsur-unsur diskriminasi. Di sini saya rasa akan terjadi tersatu dilemma di dalam diri saya, sama ada untuk mengatakan apa yang saya benar-benar rasakan ataupun memberi mereka maklumat yang “politically correct”.
Ini kemudian membawa saya berfikir tentang pengajaran di dalam kelas sastera saya kelak. Sebagai guru sudah ditetapkan oleh kementerian bahawa di sekolah guru harus sentiasa mengajar murid-murid nilai-nilai yang telah ditetapkan oleh kementerian dan menerapkan kepada mereka bahawa Negara kita ini harmonis dan berdasarkan meritokrasi.
Namun di dalam kelas sastera juga seharusnya tidak ada yang betul atau yang salah . Justeru timbul lah sebuah dilema. Bagaimana ketika dalam contohnya diskusi teks Pheng Hwa bersama murid-murid mereka mengetengahkan isu-isu diskriminasi di Negara kita ini. Adakah kita sebagai seorang guru harus menjadi guru yang ditetapkan kementerian dan menasihati mereka bahawa Negara kita bukan sedemikian ataupun bolehkah kita berdiam diri sahaja atau lebih ekstrim lagi bersetuju dengan mereka kerana sememangnya itu yang dirasakan oleh diri kita sendiri.
Justeru di sini saya rasa adalah amat susah tugas guru, lebih-lebih lagi guru sastera kerana pada satu masa, kami harus menggalakkan mereka berfikiran terbuka dan mengajar mereka di dalam tiada salah dan betul, tetapi pada satu masa yang lain kami terbatas oleh kementerian dan ada perkara-perkara dan isu-isu yang sensitif yang sebagai guru, kami tidak seharusnya kemukakan di dalam bilik darjah.
No comments:
Post a Comment