Bahan Bacaan
Bahan bacaan yang telah saya kongsi di dalam kuliah hari ini adalah berjudul Kembalilah oleh A.Wahab Ali. Cerpen ini adalah mengenai persona cerpen yang sedang mengimbas kembali jalan hidupnya di mana beliau mempunyai ibu yang memilih kasih. Walaupun telah diketepikan oleh ibunya, persona tetap bertungkus-lumus untuk membantu keluarganya. Persona hidup dalam keadaan yang susah dan sering kali harus berkorban masa dan tenaga untuk keluarganya. Ibunya tidak pernah menghargai pengorbanannya malahan sering kali mencemuhnya.
Mengapa saya hendak menunjukkan cerpen ini kepada pelajar saya?
Ini adalah kerana ia akan memberi mereka perspektif yang berbeza. Cerpen ini memberi perspektif dari sudut si anak dan juga si ibu. Saya harap dari cerpen ini ia akan menimbulkan satu keinsafan kepada pelajar dan juga dapat memupuk nilai-nilai murni di dalam diri mereka. Saya juga inginkan mereka melihat perkara dari berbilang perspektif. Contohnya persona dalam cerita itu dapat melihat masalah dari perspektif ibunya dan bukan hanya dari perspektif dirinya sendiri. Dengan melihat perkara dari sudut ibunya, persona dapat lebih memahami keadaan dan tidak menyalahkan ibunya akan sifatnya yang memilih kasih.
Namun satu perkara yang dikemukakan oleh prof adalah bahawa cerpen ini ditulis ketika persona sudah dewasa. Justeru para pelajar mungkin akan mempersoalkan kematangan persona. Mereka akan membandingkan persona dengan diri mereka dan mengatakan bahawa persona dewasa tetapi mereka masih remaja lagi justeru tentu persona tidak dapat memahami isi hati dan pemikiran mereka. Justeru di sini kita lihat bahawa ketika memberi bahan bacaan kepada para pelajar kita juga harus mengambil kira latar belakang penulis dan persona kerana adakalanya latar belakang penulis ataupun persona akan menjejas bagaimana pelajar melihat sesuatu teks itu . Para pelajar adakalanya akan kurang minat mendengar sesuatu dari seseorang yang berbeza dari mereka. Adakalanya mereka ingin mendengar sesuatu dari mereka sendiri; ie cerpen yang ditulis oleh para remaja. Lantas apabila memberi teks-teks untuk para pelajar ktia haruslah ada variasi di mana teks bacaan bukan sahaja datang dari penulis-penulis yang terkenal dan dewasa namun mungkin ia akan berguna jika sekali-sekala teks dari remaja sendiri itu diberikan kepada para pelajar.
No comments:
Post a Comment