Wednesday, October 1, 2008

#11 Aku Parasit Lajang Ayu Utami

Aku Parasit lajang.

Cerpen ini telah dibacakan di dalam kelas. Pada pendapat saya, cerpen ini cukup menarik kerana ia mengetengahkan isu-isu yang memberi nafas baru. Cerpen ini mengetengahkan isu yang dihadapi oleh persona cerita itu. Persona itu disifatkan sebagai parasit lajang kerana beliau masih berbujang walaupun sudah mencecah usia yang sepatutnya berumah tangga.

Namun persona ini tidak malu ataupun segan dengan panggilan yang telah diberikan kepadanya. Sebaliknya beliau bangga kerana dipanggil parasit lajang. Pada hemat saya kebangganan ini adalah kerana pada pendapat beliau, bukan semua orang boleh disifatkan sebagai parasit lajang. Hanya wanita yang berpendidikan dan berpendirian sendiri boleh dipanggil parasit lajang . Beliau berpendapat bahawa tidak semua wanita berkesempatan untuk mempunyai kebebasan yang diraihnya itu dan beliau tidak kisah walaupun diberi panggilan yang kurang enak didengar asalkan dapat melakukan sesuka hatinya.

Saya rasa cerpen ini amat menarik kerana ia seolah mencetus pemikiran saya. Tidak pernah terlintas di minda saya bahawa ibu bapa saya akan menyifatkan saya sebagai seorang parasit. Namun apabila difikirkan dengan lebih mendalam saya cukup yakin bahawa saya juga boleh dipanggil seorang parasit lajang. Namun tidak seperti persona cerpen itu, saya masih kurang senang dengan panggilan itu. Ini kerana sememangnya parasit membawa konotasi yang kurang enak.

Dari cerpen ini juga tercetus satu perbincangan akan unsur-unsur patriakal yang sering tersurat dan tersirat di dalam kehidupan kita. Ia memberi kesedaran bahawa adakalanya unsur-unsur patriakal ada di dalam kehidupan kita tanpa kita sedari . Persona di dalam cerpen itu sememangnya hendak cuba bebaskan dirinya dari unsur-unsur patriakal itu dan ingin mengadakan kesedaran dalam pembaca-pembacanya mengenai unsur-unsur patriakal yang sedia ada di dalam masyarakat.

Cerpen ini seolah-olah memberi nafas baru kepada watak wanita yang seringkali terdapat di dalam karya-karya. Karya-karya sering kali berunsur didatik dan mengetengahkan bagaimana seseorang wanita harus bersifat agar tidak melanggar schema patriakal di dalam masyarakat. Namun di dalam cerpen Parasit Lajang ini , ia tidak memaparkan bagaimana wanita harus bersifat namun merangsang kaum wanita agar memeluk hak saksama mereka.

Saya rasa cerpen ini sesuai diberikan kepada para pelajar kerana ia akan mencetuskan minda mereka untuk berfikir tentang isu “gender” dan mencungkil unsur-unsur patriakal yang sentiasa ada di dalam masyarakat kita ini .

No comments: