Wednesday, October 15, 2008

#13 Panggil Aku Pheng Hwa - Veven Sp Wardhana

Pheng Hwa sekali lagi

Di kuliah hari ini kami telah melihat sekali lagi cerpen Pheng Hwa yang pernah diketengahkan di kuliah yang lalu. Namun aktiviti kali ini lebih menarik; setiap dari kami diberi peranan yang berbeza-beza.

Aktiviti yang harus kami lakukan dibahagi kepada 5 .

#1

Aktiviti pertama memerlukan kami untuk memilih beberapa petikan dari teks dan meyuruh murid-murid membacanya.

Dari nada dan tona bacaan haruslah dapat digarap pemahaman murid itu mengenai petikan yang dipilih. Apa yang menarik ialah murid-murid akan memahami petikan itu degan cara yang berbeza.

Pada hemat saya aktiviti ini adalah menarik dan akan lebih menekankan bahawa sastera adalah sesuatu yang subjektif . Namun kita harus ingat bahawa walaupun sastera sesuatu yang subjektif, ia haruslah konsisten dan haruslah ada bukti yang menyokong pemahaman kita itu .

Dari aktiviti ini juga ia membolehkan murid-murid mempraktikan dan memperbaiki kemahiran mereka yang lain. Iaitu kemahiran berdialog dan juga memupuk kekreatifan di dalam cara mereka menyampaikan petikan yang telah dipilih itu .

#2

Aktiviti yang kedua adalah meneliti bukti-bukti di dalam teks Pheng Hwa untuk menyiapkan profil Pheng Hwa. Aktiviti akan dapat melatih murid-murid agar mencungkil bukti-bukti dalam teks dengan cara yang sistematik. Ia juga akan memperkukuhkan kemahiran mereka untuk meyakinkan orang lain mengenai pendapat mereka dengan menggunakan bukti-bukti yang sahih. Contohnya jika murid itu mengatakan profil watak itu adalah seorang yang pemarah, haruslah murid itu mengetengahkan bukti-bukti dari teks yang menunjukkan sifat itu.

Untuk membuat aktiviti ini lebih menarik lagi mungkin murid-murid harus mengambil peranan sebagai seorang pegawai polis atau detektif yang hendak menjejak Pheng Hwa.

Ataupun murid-murid boleh menyiapkan profil-profil beberapa orang watak. Justeru menyampaikannya di hadapan kelas tanpa memberitahu kelas siapakah watak itu dahulu. Kemudian murid-murid lain haruslah meneka siapakan watak yang sedang diketengahkan itu.

#3

Aktiviti yang ketiga memerlukan murid-murid menuliskan sambung jalan cerita Pheng Hwa dan memikirkan dengan cara yang kreatif tentang apa yang mungkin telah jadi kepada Pheng Hwa. Aktiviti ini bukan sahaja memerlukan murid-murid memahami teks itu tetapi juga memaksa murid-murid untuk berfikir dengan cara kreatif untuk meyambung cerita itu. Namun di samping menggunakan kekreatifan mereka , mereka juga harus memastikan bahawa jalan cerita akhir yang mereka lakarkan haruslah selari dangn informasi-informasi yang terdapat di dalam teks. Akhir jalan cerita mereka juga haruslah bedasarkan informasi-informasi yang dapat mereka cungkil dari teks tersebut.

Justeru aktiviti ini akan melatih murid-murid bukan sahaja untuk untuk menjadi kreatif tetapi untuk melatih mereka untuk melakarkan jalan cerita yang sistematik dan berasaskan informasi dan bukti-bukti tertentu yang boleh dicungkil dari teks.

#4

Aktiviti yang keempat pula memerlukan murid-murid untuk mengambil peranan seorang peguam dan mengetengahkan hujah-hujah akan kepentingan yang ada pada nama. Aktiviti ini memberi peluang kepada murid-murid untuk meneliti dengan lebih mendalam lagi isu nama yang telah diketengahkan di dalam cerpen Pheng Hwa ini. Aktiviti sebegini akan lebih menarik perhatian muid-murid. Ia memerlukan mereka mengambil peranan yang berbeza selain dari menjadi seorang pelajar. Ini adalah penting kerana sering kali murid-murid berasa bosan menjadi murid semata. Adakalanya mereka ingin meletakkan diri mereka di perspektif lain .

#5

Aktiviti yang kelima pula memerlukan murid-murid untuk berpidato. Sekali lagi aktiviti ini melatih murid-murid untuk menjadi kreatif dan memberi mereka peluang untuk mempraktikan kemahiran mereka yang lain iaitu “public speaking”. Aktiviti ini juga akan melatih murid-murid untuk meyakinkan orang lain mengenai pendapat-pendapat mereka. Kemahiran ini penting kerana dalam sastera ia adalah penting bagi seorang pelajar itu untuk meyakinkan orang lain tentang pendiriannya.

Kelima-lima aktiviti ini telah memberi nafas baru bagi pengajaran sastera. Ia memberi murid-murid ruang untuk menggunakan kekreatifan mereka dan juga memupuk kemahiran yang lain di dalam diri mereka. Aktivit-aktiviti ini juga menekankan bahawa sastera sesuatu yang subjektif dan melatih pelajar untuk menerima bahawa tiada salah dan betul dalam sastera. Yang penting adalah mempunyai bukti-bukti dan cara penerangan yang sistematik agar boleh menyakinkan orang lain tentang tafsiran mereka itu.

No comments: